Sunday, April 12, 2009

Siti sebak rai kejayaan tanpa arwah ayah


KEMENANGAN setiap anugerah yang diterima penyanyi Datuk Siti Nurhaliza sentiasa diraikan oleh Allahyarham bapanya, Tarudin Ismail.
Namun, malam semalam, Siti sebak apabila dia sudah tidak dapat mendengar ucapan tahniah daripada bapanya.
“Biasanya kalau menang, arwah selalu beri ucapan tahniah kepada saya menerusi telefon sejak dari awal saya menang anugerah dulu.
“Tetapi, walaupun saya tidak dapat mendengar ucapan tahniah dari arwah bapa tetapi saya masih mendapat ucapan tahniah daripada ahli keluarga lain,” beritahu Siti dalam nada sebak.
Siti turut memberitahu dua hari lepas, 11 April adalah ulang tahun Hari Jadi Allahyarham bapanya.
Dalam masa yang sama, Siti turut meluahkan perasaan gembiranya apabila masih diminati sehingga berjaya mengekalkan gelarannya sebagai Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-12.
“Mungkin disebabkan saya sentiasa membuat persembahan dengan baik dalam album dan kelebihan saya yang sentiasa berkomunikasi dengan peminat apabila berpeluang.
“Kalau boleh saya sentiasa ingin dekatkan diri dengan peminat dan kekalkan hubungan yang baik dengan mereka,” beritahu Siti.
Mengulas tentang kemenangan Nabil selaku Bintang Paling Popular 2008, Siti berkata dia sudah menduga kemenangan anak Juara Raja Lawak musim kedua itu.
“Saya dah agak Nabil akan menang hingga memberikan ucapan tahniah lebih awal di belakang pentas.
“Saya rasa kita tidak perlu pertikaikan kemenangannya, lagipun saya suka tengok lawaknya,” komen Siti yang cantik memperagakan pakaian Rizman Ruzaini (red carpet) dan Iszal dari Butik Citra (membuat persembahan lagu Di Taman Teman).
Di kesempatan itu, Siti turut mengucapkan terima kasih kepada koreografer Pat Ibrahim yang bekerja keras untuk merealisasikan impiannya ketika menyampaikan lagu Di Taman Teman dengan persembahan tarian yang mantap.



0 comments: